TINDAKAN AWAL SEBELUM MEMELIHARA IKAN AKUARIUM

Posted by Tongkat Warden Sunday, May 2, 2010 3 comments

Kebiasaannya sebelum sesuatu hobi dimulakan, kita perlu untuk memikirkan beberapa perkara penting untuk mengelakkan dari pembaziran apatah lagi apabila sesuatu hobi itu memerlukan belanja yang agak banyak. Walaupun hobi memelihara ikan ini tidak melibatkan belanja yang tinggi, kita masih perlu merancang supaya hobi baru yang kita ceburi ini boleh mendatangkan manfaat.




Perkara-perkara yang patut difikirkan:

A.Ilmu yang sepatutnya sebelum memulakan hobi.

Kita sentiasa merasa terpanggil untuk memelihara binatang di rumah. Tetapi kita jarang mengambil berat mengenai ilmu untuk memeliharanya. Untuk tujuan pemeliharaan ikan perhiasan kita boleh memulakan dengan membaca buku mengenai pemeliharaan ikan ataupun bergaul dengan mereka yang telah lama memelihara ikan perhiasan.



Ianya boleh dianggap penting kerana tanpa ilmu kita mungkin akan gagal menjaga ikan perhiasan dengan baik lantas akhirnya hobi kita nanti akan menjadi satu lagi hobi yang tidak mendatangkan manfaat. Bayangkan setelah kita membelanjakan sejumlah wang, ikan perhiasan kita mati satu persatu dan kita seolah-olah terikat dengan kedai akuarium dengan sentiasa membeli ikan baru untuk menggantikan ikan yang telah mati. Di dalam siri ini kita boleh mendapatkan ilmu untuk memelihara ikan perhiasan.

B.Tempat yang sesuai untuk memelihara ikan.

Bayangkan sebuah akuarium bersaiz tiga kaki dan berisi dengan air, di dalamnya pula kita hias dengan pasir dan ditanam dengan pokok-pokok air yang cantik. Bukan itu sahaja, kita letakkan pula akuarium tadi di atas kakinya atau menggunakan kabinet yang cantik dan kita tutup pula dengan bumbung yang bersesuaian dengannya. Ianya kelihatan seperti perabut biasa di dalam rumah kita.



Tahukah kita berapa berat akuarium tersebut? Ianya mungkin mencecah 200 kilogram! Persoalannya, mampukah kita untuk mengalihkannya nanti?
Maka dengan itu, sebelum kita membuat keputusan untuk membeli akuarium kita patut pastikan tempat yang sesuai untuk meletakkan akuarium baru kita nanti. Seboleh-bolehnya biarlah tempat itu nanti dekat dengan punca air dan juga dengan punca elektrik kerana ini akan memudahkan kita apabila kita perlu untuk melakukan penyelenggaraan mingguan. Sekaligus mengurangkan kekotoran di rumah kita.

C.Membiasakan diri dengan ikan perhiasan.

Adakah kita benar-benar sudah bersedia? Mari kita mulakan dengan melawat beberapa kedai akuarium yang berdekatan dengan tempat tinggal kita. Kenapa kita melakukan perkara ini? Kita perlu untuk mengetahui kedai akuarium manakah yang boleh memberikan kita jenis-jenis ikan yang kita kehendaki dan juga sama ada kedai akuarium yang kita pilih ini nanti mampu membantu hobi baru kita ini. Ingat, ada kedai akuarium yang hanya berminat dengan duit kita dan tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membantu kita dalam memelihara ikan perhiasan.

Adalah penting untuk mengetahui jenis-jenis ikan dan juga iklim asal ikan kerana kebanyakan masyarakat kita gemar untuk mencampurkan ikan di dalam satu akuarium. Ada yang gemar memelihara ikan yang bersaiz besar seperti kelisa, flowerhorn ataupun toman. Ada pula yang gemar memelihara ikan bersaiz kecil kerana ia kelihatan lebih menarik bila melihat kumpulan ikan berenang-renang di celah-celah batu ataupun pokok.
Di sini, kita akan membincangkan secara ringkas jenis-jenis ikan yang elok dipelihara secara komuniti.

Ini untuk mengekalkan suasana harmoni di dalam akuarium dan mengurangkan kadar kematian akibat perebutan kawasan dan pergaduhan antara jenis-jenis ikan. Perbincangan hanya mengambil kira jenis-jenis ikan yang mudah didapati di kedai-kedai akuarium di Malaysia dan juga jenis-jenis ikan yang memang telah dipelihara oleh penulis dan dijamin boleh hidup bersama di dalam satu akuarium.

Ikan dari keluarga (Cyprinodonts) Mollies, Guppy, Swordtails, Platies

Seperti yang dikatakan kita akan hanya membincangkan ikan yang mudah didapati di Malaysia. Ikan dari keluarga ini mudah mesra dengan ikan-ikan lain dan agak aktif. Ianya adalah dari jenis yang beranak dan acapkali kita boleh terjumpa anak-anak yang baru lahir di dalam akuarium.

Guppy

Guppy ialah jenis ikan yang terkenal dengan kecantikannya walaupun bersaiz kecil. Jenis ini dikatakan berasal dari benua Amerika dan juga dikatakan dibawa ke sebelah Asia Tenggara dengan tujuan mengawal pembiakan nyamuk. Walaupun kita boleh mendapatkannya di dalam parit-parit tetapi ianya mempunyai corak yang kurang menarik jika dibandingkan dengan yang boleh didapati dari kedai akuarium. Untuk makluman, ikan-ikan yang didapati di kedai akuarium telah melalui proses pembiakan terpilih untuk menghasilkan baka yang mempunyai warna yang lebih cantik. Kita boleh melihat ikan guppy yang terdiri dari berbagai-bagai warna di kedai akuarium dan terserahlah kepada penggemar hobi ini untuk memilih jenis mana yang berkenan di hati.



Mollies

Ikan jenis ini cukup menarik dengan beberapa jenis seperti ‘Sailfin Molly’ dan juga ‘Black Molly’. Ikan ini juga berasal dari benua Amerika dan sesuai dengan air yang sedikit payau. Suhu yang bersesuaian ialah di sekitar 68-77F. Ikan ini dari jenis yang beranak dan mampu untuk melahirkan banyak anak jika dijaga dengan baik. Ianya terkenal dengan tabiat makan yang pelahap dan dikatakan sentiasa lapar. Walau bagaimanapun elakkan dari memberi makanan yang berlebihan kerana ini boleh memudaratkan ikan terutamanya di dalam akuarium komuniti.



Ikan ‘Sailfin Molly’ jantan akan menegakkan sirip belakang semasa cuba memikat ikan betina dan juga mempunyai sifat membereng ketika memikat. Ia boleh berenang dengan laju untuk memikat. Ikan jenis ini memang benar-benar menarik.

Ikan dari keluarga Gouramis

Gouramis atau sepat boleh didapati dalam berbagai jenis dan warna. Kebiasaannya sepat yang dijual di kedai akuarium adalah jenis ‘pearl’, jenis emas, jenis biru, dan juga jenis kulit ular. Sebenarnya sepat mempunyai banyak lagi jenis seperti sepat siam dan sepat ronggeng. Sepat ronggeng mempunyai corak yang hampir sama dengan sepat ‘pearl’.



Dua jenis sepat yang tercantik ialah dari jenis pearl dan juga dari jenis emas. Sepat adalah ikan yang tenang. Ianya lebih bersikap mendiamkan diri dan jarang mengganggu ikan yang lain. Tetapi jika ianya bersaiz besar berkemungkinan ia akan mengejar ikan yang lebih kecil walaupun amat jarang ia mengejar dengan tujuan menyerang dan mencederakan.

Hobi memelihara ikan perhiasan sama ada di dalam akuarium ataupun di dalam kolam tidak dapat dipastikan masanya dengan tepat. Ada kemungkinan hobi ini bermula di zaman pemerintahan orang-orang Rom. Hobi ini merebak ke seluruh dunia bermula dengan ikan dari jenis ‘Paradisefish’ yang dibawa ke Eropah di sekitar tahun 1600.

Pemeliharaan ikan perhiasan seperti ikan Koi dan ikan emas pula dikatakan telah bermula sekitar 1000 tahun yang lepas tetapi terhad di negara Cina dan Jepun. Sehingga kini ikan jenis Koi dan ikan emas banyak dikeluarkan di kedua-dua negeri ini dengan Jepun menjadi pengeluar utama, Ikan Koi Jepun tetap menjadi rahsia yang cukup sukar untuk dipecahkan. Pembiak ikan di negara-negara lain ada mencuba untuk mengeluarkan ikan Koi yang sebaik ikan Koi Jepun, tetapi masih gagal.Permodenan Industri Pengangkutan menyemarakkan lagi hobi ini apabila lebih banyak ikan perhiasan boleh dipasarkan ke mana-mana ceruk dunia. Hasil dari ini, kita dapat memelihara ikan yang habitat asalnya jauh dari negara kita contohnya dari negara-negara Afrika.

Blogumulus by Roy Tanck and Amanda FazaniInstalled by CahayaBiru.com

Blog Stats

hit counter

About Me

Tongkat Warden
Adik beradik Tongkat Warrant
View my complete profile