JENIS-JENIS IKAN DAN ASAL IKAN YANG SESUAI UNTUK DIPELIHARA

Posted by Tongkat Warden Sunday, May 2, 2010
Adalah penting untuk mengetahui jenis-jenis ikan dan juga iklim asal ikan kerana kebanyakan masyarakat kita gemar untuk mencampurkan ikan di dalam satu akuarium. Ada yang gemar memelihara ikan yang bersaiz besar seperti kelisa, flowerhorn ataupun toman. Ada pula yang gemar memelihara ikan bersaiz kecil kerana ia kelihatan lebih menarik bila melihat kumpulan ikan berenang-renang di celah-celah batu ataupun pokok.
Di sini, kita akan membincangkan secara ringkas jenis-jenis ikan yang elok dipelihara secara komuniti.

Ini untuk mengekalkan suasana harmoni di dalam akuarium dan mengurangkan kadar kematian akibat perebutan kawasan dan pergaduhan antara jenis-jenis ikan. Perbincangan hanya mengambil kira jenis-jenis ikan yang mudah didapati di kedai-kedai akuarium di Malaysia dan juga jenis-jenis ikan yang memang telah dipelihara oleh penulis dan dijamin boleh hidup bersama di dalam satu akuarium.

Ikan dari keluarga (Cyprinodonts) Mollies, Guppy, Swordtails, Platies

Seperti yang dikatakan kita akan hanya membincangkan ikan yang mudah didapati di Malaysia. Ikan dari keluarga ini mudah mesra dengan ikan-ikan lain dan agak aktif. Ianya adalah dari jenis yang beranak dan acapkali kita boleh terjumpa anak-anak yang baru lahir di dalam akuarium.

Guppy

Guppy ialah jenis ikan yang terkenal dengan kecantikannya walaupun bersaiz kecil. Jenis ini dikatakan berasal dari benua Amerika dan juga dikatakan dibawa ke sebelah Asia Tenggara dengan tujuan mengawal pembiakan nyamuk. Walaupun kita boleh mendapatkannya di dalam parit-parit tetapi ianya mempunyai corak yang kurang menarik jika dibandingkan dengan yang boleh didapati dari kedai akuarium. Untuk makluman, ikan-ikan yang didapati di kedai akuarium telah melalui proses pembiakan terpilih untuk menghasilkan baka yang mempunyai warna yang lebih cantik. Kita boleh melihat ikan guppy yang terdiri dari berbagai-bagai warna di kedai akuarium dan terserahlah kepada penggemar hobi ini untuk memilih jenis mana yang berkenan di hati.



Mollies

Ikan jenis ini cukup menarik dengan beberapa jenis seperti ‘Sailfin Molly’ dan juga ‘Black Molly’. Ikan ini juga berasal dari benua Amerika dan sesuai dengan air yang sedikit payau. Suhu yang bersesuaian ialah di sekitar 68-77F. Ikan ini dari jenis yang beranak dan mampu untuk melahirkan banyak anak jika dijaga dengan baik. Ianya terkenal dengan tabiat makan yang pelahap dan dikatakan sentiasa lapar. Walau bagaimanapun elakkan dari memberi makanan yang berlebihan kerana ini boleh memudaratkan ikan terutamanya di dalam akuarium komuniti.



Ikan ‘Sailfin Molly’ jantan akan menegakkan sirip belakang semasa cuba memikat ikan betina dan juga mempunyai sifat membereng ketika memikat. Ia boleh berenang dengan laju untuk memikat. Ikan jenis ini memang benar-benar menarik.

Ikan dari keluarga Gouramis

Gouramis atau sepat boleh didapati dalam berbagai jenis dan warna. Kebiasaannya sepat yang dijual di kedai akuarium adalah jenis ‘pearl’, jenis emas, jenis biru, dan juga jenis kulit ular. Sebenarnya sepat mempunyai banyak lagi jenis seperti sepat siam dan sepat ronggeng. Sepat ronggeng mempunyai corak yang hampir sama dengan sepat ‘pearl’.



Dua jenis sepat yang tercantik ialah dari jenis pearl dan juga dari jenis emas. Sepat adalah ikan yang tenang. Ianya lebih bersikap mendiamkan diri dan jarang mengganggu ikan yang lain. Tetapi jika ianya bersaiz besar berkemungkinan ia akan mengejar ikan yang lebih kecil walaupun amat jarang ia mengejar dengan tujuan menyerang dan mencederakan.

0 comments

Post a Comment

Blogumulus by Roy Tanck and Amanda FazaniInstalled by CahayaBiru.com

Blog Stats

hit counter

About Me

Tongkat Warden
Adik beradik Tongkat Warrant
View my complete profile