Perkara-perkara yang patut difikirkan:
A.Ilmu yang sepatutnya sebelum memulakan hobi.
Kita sentiasa merasa terpanggil untuk memelihara binatang di rumah. Tetapi kita jarang mengambil berat mengenai ilmu untuk memeliharanya. Untuk tujuan pemeliharaan ikan perhiasan kita boleh memulakan dengan membaca buku mengenai pemeliharaan ikan ataupun bergaul dengan mereka yang telah lama memelihara ikan perhiasan.
Ianya boleh dianggap penting kerana tanpa ilmu kita mungkin akan gagal menjaga ikan perhiasan dengan baik lantas akhirnya hobi kita nanti akan menjadi satu lagi hobi yang tidak mendatangkan manfaat. Bayangkan setelah kita membelanjakan sejumlah wang, ikan perhiasan kita mati satu persatu dan kita seolah-olah terikat dengan kedai akuarium dengan sentiasa membeli ikan baru untuk menggantikan ikan yang telah mati. Di dalam siri ini kita boleh mendapatkan ilmu untuk memelihara ikan perhiasan.
B.Tempat yang sesuai untuk memelihara ikan.
Bayangkan sebuah akuarium bersaiz tiga kaki dan berisi dengan air, di dalamnya pula kita hias dengan pasir dan ditanam dengan pokok-pokok air yang cantik. Bukan itu sahaja, kita letakkan pula akuarium tadi di atas kakinya atau menggunakan kabinet yang cantik dan kita tutup pula dengan bumbung yang bersesuaian dengannya. Ianya kelihatan seperti perabut biasa di dalam rumah kita.
Tahukah kita berapa berat akuarium tersebut? Ianya mungkin mencecah 200 kilogram! Persoalannya, mampukah kita untuk mengalihkannya nanti?
Maka dengan itu, sebelum kita membuat keputusan untuk membeli akuarium kita patut pastikan tempat yang sesuai untuk meletakkan akuarium baru kita nanti. Seboleh-bolehnya biarlah tempat itu nanti dekat dengan punca air dan juga dengan punca elektrik kerana ini akan memudahkan kita apabila kita perlu untuk melakukan penyelenggaraan mingguan. Sekaligus mengurangkan kekotoran di rumah kita.
C.Membiasakan diri dengan ikan perhiasan.
Adakah kita benar-benar sudah bersedia? Mari kita mulakan dengan melawat beberapa kedai akuarium yang berdekatan dengan tempat tinggal kita. Kenapa kita melakukan perkara ini? Kita perlu untuk mengetahui kedai akuarium manakah yang boleh memberikan kita jenis-jenis ikan yang kita kehendaki dan juga sama ada kedai akuarium yang kita pilih ini nanti mampu membantu hobi baru kita ini. Ingat, ada kedai akuarium yang hanya berminat dengan duit kita dan tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk membantu kita dalam memelihara ikan perhiasan.
good info thanks!!
samada mencari ilmu dulu atau terus trial & error, ramai yang mengalami kesukaran dan cabaran di awal hobi ini.. saya jenis trial & error.. harap semua berjalan lancar..
memang syok bela ikan tapi agak sukar nk maintain air.huhu...